Friday, October 23, 2009

Istimewa Bagi Wanita


Kita bimbang kalau-kalau kita dibungkus dengan kain putih sebelum kita sempat menutup aurat. Maka wahai saudari-saudari seagamaku (YANG BERIMAN), sebelum terlewat rebutlah peluang yang ada jangan tunggu esok amalkan sekarang juga.
Bimbang "Esok tiada bagimu". Gembirakanlah Allah s.w.t. dan rasulNya dengan mengikut perintah mereka supaya dikala kamu dirundung malang Allah s.w.t. dan rasulNya dapat menggembirakan kamu.


Untuk wanita, 30 larangan
1. Menyambung rambut palsu
2. Bertatu, mencabut bulu wajah dan mengikir gigi
3. Keluar rumah dengan memakai minyak wangi
4. Memperlihatkan perhiasan(bersolek) di depan lelaki lain
5. Menolak panggilan suami untuk tidur bersama
6. Membuka rahsia hubungan suami isteri
7. Berpuasa sunat tanpa izin suami
8. Membelanjakan harta suami, tanpa izin suami
9. Derhaka kepada suami
10. Meminta cerai tanpa sebab yang jelas
11. Mengingkari kebaikan suami
12. Bersama lelaki lain yang bukan mahram
13. Memandang lelaki yang bukan mahramnya
14. Bersalaman dengan lelaki bukan mahram
15. Menyerupai lelaki
16. Membuka rahsia wanita lain kepada suami
17. Memandang aurat wanita lain
18. Keluar rumah tanpa ada keperluan
19. Masuk permandian awam
20. Mencakar-cakar tubuh ketika dapat musibah
21. Meratapi kematian
22. Berhias atas meninggalnya seseorang
23. Menghantar jenazah
24. Mempercayai dukun dan peramal
25. Menyumpah anak-anak sendiri
26. Tidak bertegur sapa dengan sesama muslim
27. Menganiaya pembantu
28. Mengganggu jiran
29. Minta cerai kerana suami sakit
30. Minta cerai kerana suami menikah lagi


19 Hadis Rasulullah SAW mengenai wanita:
1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".
2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.
3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.
4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.
5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.
6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.
7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.
8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.
9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).
10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.
11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.
12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah s.a.w., "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Ibunya".
13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.
14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.
15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.
16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.
17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.
18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.
19. Daripada Aisyah r.a. "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."

4 Golongan lelaki ditarik wanita:
Seseorang wanita itu apabila di yaumal alkhirat akan menarik empat golongan lelaki bersamanya ke dalam neraka?
Na'uzubillah, artikel ini bukan untuk memperkecilkan wanita tetapi sebaliknya iaitu supaya kaum lelaki memainkan peranannya dengan hak & saksama serta berwaspada akan tanggung-jawab yang kita pikul!
PERTAMA - AYAHNYA
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat, tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.
KEDUA - SUAMINYA
Apabila sang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan ditarik oleh isterinya.
KETIGA ABANG-ABANGNYA
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pundak abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.
KEEMPAT - ANAK LELAKINYA
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata & sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak nantikan tarikan ibunya maka kita lihat bertapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar dan tidak silap.
Firman ALLAH SWT: "HAI ANAK ADAM PERIHARALAH DIRI KAMU SERTA AHLIMU DARI API NERAKA DI MANA BAHAN PEMBAKARNYA IALAH MANUSIA,JIN DAN BATU-BATU..."
Hai wanita, kasihlah ayah anda, suami anda,abang-abang anda serta anak-anak lelaki anda kesihankanlah mereka dan diri kamu sendiri, jalankan perintah ALLAH S.W.T bersungguh dan dengan ikhlas. Akhir kalam, marilah kita berdoa agar kita semua terselamat dari ditarik dan tertarik oleh mana-mana pihak. Harga seseorang muslim adalah sangat berharga.
ALLAH S.W.T nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA, semua kaum muslim dijamin masuk syurga (sesiapa yang mengucap kalimah tauhid) dengan itu janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji dan peluang yang ALLAH S.W.T berikan pada kita.

PESANAN BUAT WANITA:
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Dan katakan kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka menahan sebahagian penglihatan, memelihara kehormatannya dan tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya) selain dari yang nyata (mesti terbuka terdiri dari bahagian badannya yang sangat perlu dalam pekerjaan sehari-hari, seperti mukanya dan tapak tangan). Dan hendaklah mereka sampaikan kudungnya ke leher (tutup kepalanya sampai ke leher dan dadanya), dan tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya), kecuali kepada suaminya, bapanya, bapa suaminya, anak-anaknya, anak-anak suaminya, saudara-saudaranya,anak-anak saudara lelaki, anak-anak saudara perempuannya, sesama perempuan Islam, hamba sahaya kepunyaannya, laki-laki yang menjalankan kewajubannya tetapi tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan-umpanya pelayan-pelayan lelaki yang sudah tua dan tiada lagi mempunyai keinginan kepada perempuan) dan kanak-kanak yang belum mempunyai pengertian kepada aurat perempuan. Dan janganlah mereka pukulkan kakinya, supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi (misalannya melangkah dengan cara yang menyebabkan betisnya terbuka atau perhiasan seperti gelang/rantai kakinya nampak). Dan taubatlah kamu semuanya kepada Allah s.w.t, Hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung. "(surah An-Nur ayat 31)
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk (taat) hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran (suruhan dan larangan) Allah serta (taat) mematuhi kebenaran (Al-Quran)yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberi kitab sebelum mereka (Yahudi dan Nasrani), setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut (jauh dari zaman nabi mereka) maka hati mereka menjadi keras (dari mengikuti perintah/ajaran nabi mereka) dan banyak di antaranya orang-orang fasik." (surah Al Hadid ayat 16)
Bila ayat menutup aurat turun sahaja semua wanita ketika itu tidak kira dari golongan Ansar mahupun Muhajirin dengan segera menutup aurat masing-masing. Yang ada di pasar, yang ada di rumah, yang sedang dalam perjalanan capai apa sahaja untuk menutup aurat masing-masing dengan SEGERA dan bukannya NANTI DULU. Yang tidak mendapat apa-apa mereka segera memalingkan muka menghadap dinding supaya tiada lelaki terpandang wajah mereka. Itulah kekuatan iman yang ada pada wanita-wanita ketika itu. Tetapi kini segala- galanya telah berubah makin jauh kita dari zaman Rasulullah s.a.w. makin kita jauh dari amalan agama.
Dalam ayat yang sama juga Allah s.w.t. menegur kita supaya tidak menjadi seperti ahli kitab sebelum kita (Yahudi dan Nasrani) di mana semakin mereka jauh dari zaman nabi mereka maka semakin kurang mengamalkan agama. Itulah keadaan kita ketika ini. Saudari-saudari seagama dengan kita bukan tidak tahu kewajiban menutup aurat, tetapi oleh kerana kelemahan iman serta sikap acuh tak acuh membuatkan mereka lalai. Perkataan yang biasa kita dengar dari saudari-saudari kita ialah "belum sampai seruan". Seruan apa yang ditunggunya atau seruan dari siapa yang sedang mereka tunggu? Bukankah Allah s.w.t. telah seru untuk menutup aurat sejak 14 abad dahulu lagi. Tetapi kenapa masih tak tutup-tutup lagi?
Lihat lagi ayat di atas Allah s.w.t. berfirma "Katakan kepada orang-orang perempuan yang beriman" Allah s.w.t. dengan khusus gunakan perkataan "beriman" dan bukannya "wahai manusia" kerana segala perintah hanya boleh didukung oleh orang-orang yang beriman sahaja. Dalam ayat kedua pun sama yang ditujukan ayat-ayat ini adalah kepada orang-orang yang beriman. Kita kata kami beriman dengan Allah s.w.t, Rasul-rasulNya dan, Kitab-kitabNya tetapi apa yang kita ucapkan dan buat adalah sungguh bertentangan. Allah s.w.t. telah menggariskan peraturan dan rasul telah mengajarkannya dan peraturan itu telah termaktub di dalam kalamNya. Tetapi kenapa masih leka?
Kita bimbang kalau-kalau kita dibungkus dengan kain putih sebelum kita sempat menutup aurat. Maka wahai saudari-saudari seagamaku (YANG BERIMAN), sebelum terlewat rebutlah peluang yang ada jangan tunggu esok amalkan sekarang juga. Bimbang "Esok tiada bagimu". Gembirakanlah Allah s.w.t. dan rasulNya dengan mengikut perintah mereka supaya dikala kamu dirundung malang Allah s.w.t. dan rasulNya dapat menggembirakan kamu.
BIAR KAMU TIDAK CANTIK DI MATA PENDUDUK BUMI TETAPI NAMAMU MENJADI PERBUALAN PENDUDUK LANGIT.



KERUGIAN BAGI WANITA YANG MENOLAK PERKAHWINAN
Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antaranya memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak. Justeru itu ramai yang lebih rela jadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan karier kerjanya.
Sebelum ini saya ada memberi pandangan bagaimana hendak menyelesaikan masalah andartu. Kali ini saya akan dedahkan pula tentang kerugian wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang ada peluang berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang saya sebutkan di atas tadi. Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain.
Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan negatif untuk melahirkan cahaya. Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa seperti di barat. Sungguh pun demikian pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat. Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak. bagi kaumwanita, untuk mendapat maqam salehah dan menjadi ahli syurga di akhirat adalah amat mudah. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.: "Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki."
Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah s.w.t. pun bergantung kepada redha suami.
Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah s.a.w di syurga kelak. Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid.
Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malah di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin. Sabda Rasulullah s.a.w: "Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan." Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau ia telah berkahwin?" Jawab baginda s.a.w, "Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali)."
Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi banyak pahala. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita salehah yang berada dibawah naungan suami.

Monday, October 5, 2009

Hargai Ibu Bukannya Sehari



SAMBUT ATAU TIDAK
Ada orang tanya pada saya, “Engkau tak sambut Hari Ibu?” Saya merenung tajam ke matanya? Dia serba salah, kemudian tiba-tiba mulutnya bersuara, “Ah, lupa engkau mana sambut hari-hari macam ini. Bida’ah katanya.” Dia senyum sinis. Saya ketawa.

Saya berjalan perlahan petang itu menuju ke kedai makan yang tak jauh dari hostel saya. Kawan saya tadi masih tersenyum-senyum, dia berada di sebelah saya. “Aku sambut tiap-tiap hari. Tiap-tiap hari aku mengenang jasa dan pengorbanan ibuku. Bagi aku, setiap hari aku doakan kebahagian, keselamatan, dan umur yang panjang untuk ibu dan ayahku. Bukankah, itu yang dituntut agama?” Saya pula tersengih-sengih kambing kepadanya. Mata dia? Ah mata dia tidak merenung tajam seperti yang saya lakukan, tetapi dia hanya tertunduk lesu.


Petang itu, petang yang bermakna. Petang itu juga adalah petang ‘usrah’ saya dengan dia. Tazkirah diberi di mana-mana sahaja, dan petang itu tanggungjawab untuk menyampai dapat dilakukan secara santai tapi bermakna.

Islam meletakkan ibu ditempat yang paling selayaknya, begitu juga dengan bapa. Seorang ibu berhak mengambil haknya terhadap anak-anaknya. Tetapi seorang anak tidak boleh langsung mempertikaikan hak ibu dan bapa mereka terhadap dirinya. Jihad adalah perkara paling utama dalam Islam, namun kerana Ibu, jihad menjadi tempat kedua bagi seorang anak.

Perkara ini dikatakan sendiri oleh Rasulullah ketika ada seorang sahabat yang bernama Jahimah bertemu baginda untuk bertanyakan pandangan untuk ikut serta dalam ekspedisi jihad. Rasulullah bertanya, “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda, “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.” (Shahih Sunan al-Nasai, no: 3104)

ADAKAH IA ADIL ATAU TIDAK?
“Jadi adakah satu larangan untuk menyambutnya pada hari-hari tertentu?” Kawan saya tadi bersuara semula. “Eh bukankah kau yang sendiri kata yang orang macam aku akan kata bid’ah?” Saya memulangkan paku buah keras kepadanya. “Tadi gurau.” Dia masih merenung kemuka saya meminta jawapan. “Jika kita menyambutnya hanya pada hari-hari tertentu, maka jawapannya kita tidak adil. Kita tidak adil kepada ibu kita, dan kita tidak adil terhadap hak yang perlu kita berikan kepada mereka.

Saya tidak pernah kata bid’ah atau berdosa walaupun ada sahaja ulama’ yang mengharamkannya dan sebaliknya. Tapi kita kenal lihat dari konteks adil atau tidak jika kita lakukan hanya pada hari-hari tertentu sahaja? “Kau dah besar, boleh fikir kan?” Saya menepuk-nepuk bahunya lembut.

Persoalan yang saya timbulkan hanyalah, adil atau tidak kita perlakukan begitu kepada insan yang mengandungkan kita selama 9 bulan, seterusnya perit melahirkan kita, dan kini menatang penuh diri kita, tiba-tiba kita hanya meraikan kemulian mereka hanya sehari. Itupun pada hari-hari tertentu. Jika kita sampai hati lakukan begitu, ucaplah selamat hari ibu hanya pada hari Ahad ini. Hari-hari lain, kita diam membisu dan tidak ada lagi penghargaan buat insan ini.

Bagi saya, setiap hari, setiap bulan, dan setiap tahun akan saya ingati, doakan, hubungi dan ucapkan “Selamat hari Ibu untuk semua ibu-ibu di dunia, terutama kepada ibuku yang bernama Hajah Samsiah binti Kadim. Anak-anakmu akan sentiasa menghargai dan mengingati setiap hari.”



_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Manusia Itu Sentiasa Berubah



“Bro ini ke kawan kau yang kau kata dulu Otai.” Rizal (bukan nama sebenar) bertanya kepada sahabat saya, Riduan (juga bukan nama sebenar). Riduan tersengih, kemudian mengangguk perlahan.

“Biar betik, laiiin dah.” Rizal menyambung, kemudian kami semua ketawa bersama. Mungkin kalau dia dapat melihat gambar-gambar lama saya, mesti lagi dia akan ketawa dan terkejut. Manusia akan terus berubah Yop.

Riduan yang duduk di depan saya masih lagi tersengih-sengih. Semasa saya sedang berada di pejabat, Riduan menghantar sms mahu berjumpa dengan saya. Kebetulan, ketika itu dia berada di Kuala Lumpur ada urusan, saya pula sedang praktikal di Kuala Lumpur. Saya sudah kenal dan bersahabat dengan Riduan lebih kurang 8 tahun. Pada awal perkenalan saya dengan dia, saya memang tidak suka dengan perangai dia. Suka menyakat dan suka mengenakan orang. Cuma saya, dia tidak berani.


Habis sahaja waktu berkerja, saya terus ke Time Square berjumpa dengan Riduan. Dia masih berperangai seperti dahulu. Cumanya ada beberapa perubahan pada diri sahabat saya ini. Kami masih rapat, seperti dahulu juga. 2 tahun tak pernah bersua muka, macam-macam dah berubah.

“Dulu kau lebih besar dari aku, sekarang aku pula lagi besar dari kau. Tinggi pun aku lebih dari kau.” Riduan cuba mengukur-ukur tinggi dia dengan saya.

“Yang penting aku lagi hensem dari kau.” Saya mengusik.

“Ceh. Bapa poyo giler.” Bahasa dia masih sama seperti dahulu. Kami ketawa.

Perubahan yang berlaku pada saya, Alhamdulilah diterima baik. Dia pula menegur saya sebab saya nak membatalkan puasa sunat. Semata-mata mahu meraikan perjumpaan yang dah lama ini. “Eh giler. Tak payah la. Tinggal berapa jam je lagi ini.” Dia menahan saya dari membatalkan puasa. Saya akur terselit juga perasaan kagum.

Tatkala saya bertanya tentang gajinya, adakah dia memberi sedikit dari gajinya kepada kedua orang tuanya. Dia menjawab, "Gile kau, nak kena sambar petir." Saya ketawa kemudian "Bagus!"

Berkat dari menghadiahkan gajinya kepada orang tua, dan pandai menyimpan, dia sudah membeli rumah, dan sudah ada simpanan. Gaji dia mengalahkan saya jika saya bergelar Auditor. nanti. Tapi tugas Riduan mencabar. Dia tak selalu berada di daratan. Kebanyakkan masanya dia akan berlayar, dan paling lama di lautan ialah 6 bulan. Itu sebab gajinya lumayan, berbaloi dengan kerjayanya. Saya menumpang gembira, sahabat saya ini sudah ada kerjaya yang stabil.

“Aku camni je la mir.” Dia menjawab bila saya bertanya tentang hidupnya sekarang.

“Tapi kau jadi jugalah manusia. Dari tak jadi macam dulu.” Saya menambah. Dia ketawa. Pipinya yang tembam masih kelihatan, tak berubah.

Setengah jam juga saya habiskan masa dengan Riduan. Jam 6.30, saya perlu balik segera. Riduan saya tinggalkan sementara, dan tidak pasti lagi bila akan bertemu. Saya terus berharap dan berdoa, agar Allah memberi petunjuk kepadanya. Ya, moga Allah memberi petunjuk agar Riduan menjadi insan yang mengenali Tuhannya.

“Assalamulaikom.” Riduan ucapkan kepada saya semasa saya berangkat mahu pulang. Saya berhenti sekejap, senyum kepadanya dan menjawab salamnya. Dia tergelak. Kaki saya terus melangkah, memikirkan sahabat saya ini. Tidak tahu mengapa, tapi saya hati saya terus berharap satu hari nanti dia akan berubah. Berubah menjadi benar-benar Muslim. Sekurang-kurangnya, bahasanya lebih molek untuk diucapkan. Saya berdoa untuknya.

Saya merindui sahabat-sahabat yang lain dan juga zaman persekolahan..Sahabat semua, bila mahu ketemu lagi?


_____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Munafik Yang Alim Lisannya




“Ilmu itu adalah Imam dan Amal itu adalah makmum”

Perkataan di atas pertama kali saya temui semasa membaca buku Manhaj Dakwah Al-Qardhawi. Perkataan itu benar-benar memberi satu impak besar dalam kehidupan saya. Semacam ada sebuah aura yang terus-menerus untuk saya hafal dan ulangi setiap masa.

Bukan mudah untuk menjadi orang yang berilmu, tetapi bukan sukar juga untuk mendalami ilmu pengetahuan sehingga menjadi Ilmuan. Ia bergantung kepada diri sendiri, dalam masa yang sama di atas takdir Allah.

Menjadi seorang yang berilmu adalah sebuah penghormatan dan kemulian. Banyak hadith-hadith dan firman Allah yang menggambarkan betapa tingginya darjat orang yang berilmu.



Firman Allah, “Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat dan tidak (pula) sama gelap gulita dengan cahaya, dan tidak (pula) sama yang teduh dengan yang panas.” (Surah al-Fathir 35:19-21)

Ayat di atas Allah telah menggambarkan orang yang berilmu seperti seorang yang celik matanya. Manakala orang yang jahil seperti seorang yang buta matanya. Sungguh tinggi perumpamaan yang digambarkan Allah terhadap orang yang berilmu.

Hakikat kemuliaan dan tingginya darjat orang yang berilmu telah dikukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW. Sabdanya, “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan permudahkannya untuk masuk ke Syurga. Para Malaikat akan mengepakkan sayapnya ke atas pencari ilmu, kerana mereka suka dengan apa yang dilakukannya. Orang yang berilmu dimintakan ampun oleh semua yang ada di langit dan di bumi, bahkan ikan-ikan di air juga turut serta memohon ampun untuknya. Keutamaan orang yang alim atas ahli ibadah seperti keutamaan bulan di atas bintang. Para ulama adalah pewaris nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Sehingga orang yang mengambilnya benar-benar telah mengambil bahagian yang sempurna.” (Hadith direkodkan Imam Bukhari)

Al-Imam Ghazali ketika membaca hadith telah berkomentar, “Telah maklum, tidak ada darjat di atas darjat kenabian dan tidak ada kemuliaan di atas kemuliaan mewarisi darjat tersebut.”

Banyak sekali kenyataan dan bukti yang menunjukkan bahawa orang yang berilmu sangat dihormati dan dipandang tinggi.

Namun virus-virus ujub dan tidak mengamalkan ilmu yang ada semakin lama semakin membarah di kalangan penuntut ilmu. Sungguh ramai para penuntut ilmu mula mencari ilmu untuk kemegahan dan keuntungan dunia. Manakala ada juga sebahagian dari mereka, mencari ilmu semata-mata untuk berdebat dan menguji para ulama yang ada.

Kegusaran Nabi Muhammad terhadap hal ini sememangnya telah diduga semasa baginda masih hidup lagi. Oleh sebab itu Rasulullah pernah memberi amaran kepada penuntut ilmu tentang hal ini. Sabda Rasulullah SAW, “Jangan mempelajari ilmu untuk menyombongkan diri pada ulama, berbangga dengan orang yang jahil, serta memilih-milih majlis. Sesungguhnya barangsiapa yang melakukan hal tersebut, dia akan masuk ke dalam neraka, dia akan masuk ke dalam neraka.” (Hadith direkodkan Ibn Hibban dengan para perawi yang dipercayai lagi sahih, demikian terang Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sahih Ibn Hibban)

Begitu juga dengan sesiapa yang menuntut ilmu niatnya kerana ingin mendapat keuntungan dunia. Rasulullah telah memberi amaran keras terhadap golongan ini. Sabda Rasulullah SAW, “Seharusnya seseorang yang mempelajari sesuatu ilmu adalah untuk mendapat keredhaan Allah, namun jika dia mempelajarinya adalah kerana untuk memperoleh kesenangan dunia, maka dia tidak akan mencium bau Syurga pada hari Kiamat.” (Hadith direkodkan Ibn Hibban dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sahih Ibn Hibban)

Oleh sebab niat yang tidak jujur dan ikhlas menuntut ilmu kerana Allah, membuatkan ilmu yang ada hanyalah setakat di lidah tanpa ada pengamalan. Sedangkan ilmu itu haruslah disusuli dengan amalan, kerana ilmu adalah imam dan amal adalah makmum.




Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya yang bertajuk Tafsir Fiqh as-Suluq fi Dhau al-Quran wa as-Sunnah menulis, “Sesungguhnya musibah terburuk yang menimpa kehidupan dan menerpa umat manusia adalah orang alim yang perkataannya bertentangan dengan perbuatannya, dan perbuatannya mendustakan perkataannya. Orang alim seperti ini adalah bencana untuk hamba-hamba Allah. Dan tindakannya itu merupakan tindakan yang diperingatkan al-Quran kepada orang-orang beriman. Firman Allah, “Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah al-Shaff 61:3)

Maka tidak aneh apabila Rasulullah meminta perlindungan daripada Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat. Zaid bin Arqam meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, jiwa yang tidak puas serta doa yang tidak dikabulkan.” (Hadith direkodkan Ibn Majah)

Sungguh hina dan azab kepada orang yang berilmu tidak beramal dengan ilmunya. Ketika Rasulullah menceritakan kepada para sabahat bagaimana seksaan yang diterima oleh golongan yang berilmu tetapi tidak memanfaatkannya.

Zaid bin Arqam telah meriwayatkannya dengan berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Pada hari Kiamat seseorang didatangkan dan dilemparkan ke dalam neraka. Kemudian usus-ususnya terburai dan dia akan dipusing-pusingkan seperti keldai yang memusingkan alat penggiling. Para penghuni neraka berkumpul dan bertanya kepada orang tersebut, “Fulan, apa yang terjadi denganmu? Bukankah dulu kau mengajak kepada yang makruf dan melarang perkara yang munkar? Dia pun menjawab, “Dulu aku memang mengajak kepada perkara yang makruf namun aku sendiri tidak mengamalkannya. Dan aku melarang yang munkar, tetapi aku sendiri melakukannya.” (Hadith direkodkan Imam Bukhari)

Golongan berilmu ini boleh juga dikira sebagai seorang munafik. Kerana orang munafik lahiriahnya bagus tetapi dalamannya rosak. Lidahnya manis menuturkan kata-kata hikmah namun amalannya pahit bak hempedu. Mereka memperdayakan manusia dengan ilmu yang ada, padahal hatinya kosong dari keyakinan iman dan Islam. Golongan ilmuan sebegini adalah munafik yang alim lisannya.

Bahaya munafik yang alim lisannya ini telah diperingatkan oleh Rasulullah sepertimana yang diriwayatkan oleh Umran bin Hushain. Sabda baginda, “Sesungguhnya sesuatu yang paling aku risaukan sepeninggalanku terhadapmu ialah setiap orang munafik yang alim lidahnya.” (Hadith direkodkan Imam Tabrani)

Berhati-hatilah dengan golongan ilmuan sebegini. Dan sentiasalah berdoa agar di kalangan kita tidak akan wujud golongan seperti ini. Moga peringatan Saidina Umar al-Khatab ini menjadi nasihat dan peringatan sekaligus kepada kita semua. Kata beliau, “Berhati-hatilah, kerana Rasulullah SAW menyuruh kita berhati-hati terhadap setiap orang munafik yang alim lisannya.”



____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Mana Lebih Baik Menipu Atau Ditipu


Sama ada kita kaki menipu atau selalu ditipu, kedua-duanya tidak baik untuk manusia yang mempunyai harga diri. Dua perkataan yang bunyi lebih kurang sama. Tetapi yang jelas, kedua-duanya mempunyai makna yang tersendiri. Menipu bermaksud, mengenakan tipu daya. Manakala ditipu pula ialah, diperdaya oleh orang lain. Kenapa harus menipu? Atau kenapa harus diberi peluang kepada orang lain untuk membenarkan mereka menipu diri kita?


KAK PAH TERTIPU

"Sudah dikecek,
dikecong pula."

Peribahasa di atas bermaksud, kena tipu lebih dari sekali. Amat malang bagi manusia yang tidak menjadikan kesilapan masa lalu sebagai panduan pada masa mendatang. Lebih malang apabila menyalahkan takdir di atas kesilapan diri sendiri akibat ditipu oleh orang lain. Menyalahkan takdir seperti juga menyalahkan Allah. Takdir itu tidak akan berlaku sekirannya, kita mengambil iktibar di atas perkara lepas. John Santayana pernah berkata, “Celakalah manusia yang mengulangi kesilapan yang pernah sejarah ceritakan.”

Kenyataan John Santayana ini disebenarnya telah disuarakan sendiri oleh Nabi Muhammad pada 1500 tahun lalu. Kata baginda, “Orang yang beriman tidak akan kena sengat dua kali dalam satu lubang" (Sahih Muslim). Apakah segnifikannya hadith di atas terhadap diri manusia? Hadith tersebut mengajar manusia bahawa kehidupan seseorang muslim yang mukmin, seharusnya terhindar dari melakukan kesilapan yang sama lebih dari sekali. Kerana ia melambangkan kebodohan dan kecuaian. Sedangkan Islam membawa panji kebijaksanaan dan keberhatian yang membawa kepada kebaikan kepada semua makhluk.

“Orang yang bijak itu nampak lebih besar walaupun umurnya masih muda, Manakala orang yang jahil itu nampak kecil walaupun umurnya sudah tua.”


Ayat di atas bukanlah hadith atau dalil-dalil yang dapat menghujahkan hukum. Ia cumalah sebuah ungkapan syair yang saya petik dari ribuan syair berbahasa Arab. Syair ini menggambarkan bahawa kebijaksaan itu tidak datang pada yang tua atau muda. Ia bergantung kepada manusia itu sendiri. Sama ada mahu menjadi Bijak atau Jahil. Beruntunglah mereka yang bijak dan mukmin, kerana mereka tidak akan menipu dan tertipu.


SAYA GURAU SAHAJA

“Siapakap senohong, Gelama ikan Duri, Bercakap bohong, lama-lama mencuri.”

Bohong atau menipu adalah dua perkataan yang sama maknanya. Orang-orang Melayu dahulu, sangat kreatif dalam membina peribahasa. Ungkapannya indah, halus bunyinya dan mendalam isinya. Bohong atau menipu, membawa impak besar kepada diri yang menipu dan juga orang sekelilingnya. Kerana menipu bukan sahaja membawa impak negatif diri penipu, tetapi kadangkala memberi kesan kepada masyarakat. Menipu dalam apa jua, adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam.

Sehinggakan Rasulullah menegaskan bahawa menipu untuk sekadar bergurau juga tidak dibenarkan dalam Islam. Sepertimana yang dikatakan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith, “Celakalah orang yang berbicara, padahal dia menipu, untuk sekadar membuat orang-orang tertawa, celakalah dia, kemudian celakalah dia." (Hadith ini Sahih dalam Bulughul Maram oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqolani)

Moga kita tidak termasuk dikalangan orang yang menipu dan tertipu. Kerana orang yang bergantung harap kepada Allah, dan sentiasa berusaha untuk menjadi Muslim yang mukmin, pasti tidak akan menipu atau tertipu. Artikel ini diharapkan dapat memberi teguran dan peringatan untuk kita bersama, termasuklah kepada diri penulis. Kepada Allah segalanya dikembalikan..