Tuesday, November 24, 2009

Doa Orang Berdosa Ditolak Allah s.w.t - (harian metro 13/11/09)


Bismillahirrahmanirrahim

SEBAGAI manusia ada saja perkara yang diperlukan, tetapi setiap yang diperlukan itu tidak mungkin boleh didapati dengan mudah. Pada saat dan ketika itulah manusia akan berharap dan mula mengadu nasib. Bagi mereka yang mengakui dirinya makhluk (yang dicipta) pasti mengadu pada Penciptanya iaitu Allah Yang Maha Berkuasa.


Mereka yang beriman tidak jemu berharap dan berdoa walaupun permintaannya belum berhasil. Doa bagi golongan ini adalah senjata dalam menghadapi sebarang situasi, membuatkan mereka tidak pernah putus harapan. Sementara golongan yang lemah iman akan patah semangat untuk berdoa. Dalam benaknya, kenapa Allah tidak memakbulkan doanya?


Di sinilah kita harus menilai diri sendiri. Siapa kita sebenarnya? Adakah kita ini termasuk orang yang bersih jiwa? Adakah kita mematuhi perintah Allah atau sebaliknya, sedangkan doa akan dimakbulkan (diterima) daripada hamba-Nya yang benar-benar ikhlas.


Andai kita bekerja di sebuah perusahaan, tetapi kita seorang pemalas, ingkar dan banyak melanggar peraturan di perusahaan itu, apakah ketua perusahaan itu akan menunaikan dengan mudah permintaan kita, seperti kenaikan gaji?Sebagai ketua tentulah dia akan memberi dengan mudah jika pekerjanya itu seorang yang disayanginya, taat peraturan kerja dan rajin.


Demikian juga kita mengandaikan Allah dan hamba-Nya. Jika manusia itu seorang yang taat segala perintah, malah dalam masa yang sama menjauhi larangan-Nya dan rajin beribadat, insya-Allah mudahlah Allah memakbulkan segala doanya.


Jika kita melakukan banyak dosa, akan terhijablah (terdinding) doa kita. Dengan perkataan lain, sia-sia kita berdoa. Ada lima perkara yang membuatkan kita terhijab atau ditolak doa oleh Allah SWT iaitu:
.
Dosa kerana mengingkari pemimpin
Pemimpin terbahagi kepada dua iaitu pemimpin atasan dan pemimpin bawahan. Perintah mereka wajib ditaati selagi tidak bercanggah dengan syariat. Pemimpin yang dimaksudkan di sini ialah pemimpin yang adil kepada orang bawahannya, soleh lagi berjiwa tauhid, bukan pemimpin yang fasiq dan berbuat mungkar kepada Allah SWT. Jadi ukurlah diri masing-masing sejauh mana ketaatan kepada pemimpin.
.
Dosa kerana tidak taat guru
Guru orang yang bertanggungjawab mendidik dan mengasuh kita. Segala ajarannya perlu diikuti. Jangan sampai guru berasa muak dengan kita, supaya kita tidak ditimpa malapetaka seperti susah menerima ilmu, gelap hati, keras hati, malas beribadat, doa dan amalan tidak terangkat dan tidak dapat memperbaiki akhlak.
.
Dosa kerana menderhaka dengan ibu bapa
Ibu bapa berkorban untuk menjadikan kita insan yang berguna di dunia dan akhirat. Jika kita menderhaka atau menyakiti hati mereka, sedangkan perintahnya bertepatan dengan syariat Islam, Allah pasti murka pada kita. Awas, doa anak derhaka tidak diangkat malaikat ke hadrat Ilahi. Oleh itu, tidak ada perubahan atau peningkatan pada diri kita kerana doa mereka ditolak. Jadilah kita orang yang rugi di dunia dan akhirat.
.
Dosa kerana derhaka kepada suami
Isteri yang menderhakai suaminya tidak layak mencium bau syurga. Allah murka dan melaknat isteri yang membelakangi suaminya. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Jika Allah membenarkan manusia sujud kepada manusia selain-Nya, aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya." Besarnya kedudukan seorang suami di sisi Allah. Seorang isteri walaupun ibadatnya sehebat ibadat Siti Maryam (ibu Nabi Isa), tiada nilai sedikitpun di sisi Allah jika masih menderhakai suami.
.
Dosa kerana menganiaya atau menzalimi orang
Golongan yang suka menganiaya dan menzalimi orang termasuk juga orang yang gemar menabur fitnah, mengadu domba, buruk sangka sesama manusia, suka menyakiti hati orang lain, sama ada dengan lidah, perbuatan atau tingkah laku.Jika kita melakukan satu daripada lima perkara ditegah di atas, terhijablah doa dan amalan kita. Oleh itu, jika ingin doa kita dimakbulkan Allah, jauhkan diri daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah itu.

Wednesday, November 11, 2009

Kisah Dajjal Dalam Hadith

Persoalan tentang al-ghaibiyyah, iaitu persoalan alam ghaib yang hanya didengar melalui dalil-dalil. Namun, hakikatnya hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Antara perkara berbentuk al-ghaibiyyah ialah kapal nabi Nuh, tongkat Nabi Musa, syurga, neraka dan lain - lain. Kita tidak digalakkan untuk memperincikan bagaimana bentuknya, bila berlaku, adakah berjasad atau tidak serta seumpamanya. Begitu juga dajjal yang termasuk dalam persoalan al-ghaibiyyah. Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin." “Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan aku terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya." “Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis ‘kafir’, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf." “Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, iaitu panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk."
“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya juga sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “ Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.” “Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, iaitu dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula". Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.” Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”

Kata Rasulullah s.a.w lagi: Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi. Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi." “Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal, kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah. Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.” Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.” Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi. Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat aku menangis beliau bertanya: Mengapa menangis?” Aku menjawab: “Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka aku takut mendengarnya.” Rasulullah s.a.w berkata: Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.” Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa. Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab: Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.” Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan. Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan. Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu.

Solat sunat Dhuha

Solat sunat Dhuha ini dikerjakan pada ketika sedang naik matahari (anggaran 8.00 pagi hingga 11.00 pagi).

Solat sunat Dhuha ini dilakukan sebanyak 2 rakaat. boleh juga dilakukan sebanyak 4, 6, 8 sehingga 12 rakaat dan setiap dua rakaat satu salam dan boleh juga setiap 4 rakaat satu salam.

Cara melakukan solat Dhuha:

a) Bacaan niat solat sunat Dhuha



Ertinya: " sahaja aku solat sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Taala".

b) Bacaan rakaat pertama surah Al-Fatihah dan As-Syam

c) Bacaan surah rakaat kedua surah Al-Fatihah dan Ad-Dhuha

d) Setelah selesai salam, lalu membaca doa



maksudnya;

"Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.


Kelebihan:
Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:
" Barangsiapa yang melakukan solat Dhuha membaca rakaat pertama surah Al-Fatihah dan ayat Kursi 10 kali, dan pada rakaat kedua surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas 10 kali, nescaya ia mendapat kerelaan Allah Yang Maha Besar." (HR. Anas B Malik).

" Barangsiapa yang mengerjakan solat Dhuha dengan terus menerus, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan." (HR Tirmizi)


يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى


Rasullullah S.A.W bersabda: setiap pagi masing-masing persendian/ruas tulang daripada kamu sedekah, dan setiap bertasbih sedekah dan setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) itu sedekah, dan setiap ucapan takbir itu sedekah, dan menyeru dalam kebaikan sedekah, dan melarang dari perbuatan jahat itu sedekah, dan sebagai ganti semua itu, cukuplah dengan mengerjakan solat Dhuha dua rakaat." (HR Ahmad, Muslim dan Daud)

Rujukan : koleksi 100 solat-solat sunat oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Hj. Ahmad B. Hj. Ibrahim. terbitan Al-Hidayah Publisher

Bersiwak Merupakan Amalan Para Anbiya


Islam memberikan sanjungan tinggi terhadap kebersihan, malah diangkat di kedudukan istimewa sehingga Nabi Muhammad s.a.w pernah menegaskan sebagai sebahagian daripada iman. Kebersihan dilihat melalui ibadat rutin harian seorang muslim yang bertitik tolak daripada amalan menyucikan diri melalui wuduk, kebersihan pakaian dan tempat ibadat. Nabi s.a.w menunjukkan isyarat penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula dari tubuh badan baik rohani atau jasmani, sehingga pakaian, kediaman dan persekitaran, harus dipastikan bersih. Anggota luaran lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian dan dandanan kerana ia membentuk personaliti diri seseorang selain mengelak penyakit.

Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud:
"Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja)."
(Hadis riwayat Muslim)

Antara yang diberikan penekanan ialah kebersihan mulut dan gigi, kerana Rasulullah s.a.w ada menyatakan dalam sabda bermaksud:
"Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi (menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat."
(Hadis riwayat Muslim)

Membersihkan mulut dan gigi atau bersugi, dalam bahasa Arabnya disebut siwak, sangatlah dianjurkan Islam, bahkan baginda menyatakan:
"Bersiwak itu menyucikan mulut, diredai Tuhan dan dibenci syaitan."

Siwak merujuk kepada dua pengertian iaitu perbuatan menggosok gigi dan membersihkan mulut serta alat atau kayu yang digunakan untuk menggosok gigi, dipanggil kayu siwak. Nabi s.a.w sendiri dilaporkan membersihkan gigi, paling kurang dua kali sehari. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Omar:
"Nabi bersiwak (menggosok gigi) pada permulaan siang dan akhirnya."

Namun, kebiasaannya Nabi s.a.w menggosok gigi berulang kali setiap hari. Sehubungan dengan ini, Amir bin Rabiah melaporkan:
"Aku melihat nabi menggosok gigi (berulang-ulang kali) sehingga aku tidak mampu menghitung jumlahnya ketika baginda berpuasa."
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)

Ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh M S Al-Munajjid, berkata Imam Nawawi dilaporkan ada menyatakan ulama bersependapat penggunaan siwak adalah satu sunnah. Menurutnya, satu lagi daripada bukti yang menunjukkan pentingnya amalan itu apabila sesetengah ulama salaf (silam) seperti Ishaq ibn Rahawayh, berpendapat ia kewajipan.

Siwak menurut kesepakatan ulama yang paling baik dengan ranting pokok arak, kerana baunya harum, malah seratnya sangat berkesan membersihkan sisa makanan di celah gigi. Jika ranting pokok arak tidak diperoleh, tangkai daun pokok palma atau ranting pokok zaitun boleh digunakan. Jika bahan itu tidak diperoleh, mana-mana bentuk kayu yang baik untuk membersihkan dan tidak mencederakan gigi boleh digunakan untuk membersihkan mulut. Ini termasuklah penggunaan berus gigi moden.

Pembersihan gigi dan mulut menggunakan kayu atau ranting dari pohon arak (salvadora persica) berlaku sejak berkurun yang lalu, kerana ia kaya dengan serat dan khasiat bagi kesihatan mulut dan gigi. Justeru itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dilaporkan mempromosikannya bagi kegunaan pembersihan mulut. Kajian mendapati kayu sugi daripada pohon arak mempunyai kelebihan secara semula jadi. Penyelidikan Dr Otaybi dari Arab Saudi membuka era baru terhadap kajian kayu terbabit, apabila menemui kesan sangat positif terhadap sistem kekebalan badan. Malah, penyelidik lain mendapati ia mempunyai kesan baik bagi kesihatan terutama dalam proses antiketagihan perokok, sama ada untuk tujuan penyembuhan atau pencegahan, selain bahan antiseptik, astringen, pencuci dan dan fluorida (bahan penghalang kerosakan dan kereputan gigi).

Amalan membersihkan mulut dan gigi menurut ulama sangat dituntut. Waktu melakukan siwak, iaitu:

Ketika mahu berwuduk dan mengerjakan solat.
Apabila memasuki rumah dan bersama keluarga. Aishah ketika ditanya tindakan pertama dilakukan Nabi s.a.w apabila tiba di rumah, beliau berkata:
"Apabila baginda memasuki rumah, perkara pertama yang baginda lakukan ialah siwak."
(Hadis riwayat Muslim)

Apabila bangun dari tidur.

Huzaifah ibn Al-Yaman r.a menyatakan apabila Nabi s.a.w bangun pada waktu malam, baginda membersihkan mulut dengan siwak secara sempurna.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Apabila bau mulut seseorang berubah, sama ada disebabkan makan makanan yang berbau atau tidak makan dan minum dalam tempoh yang lama.
Ketika ke masjid. Penggunaan siwak sebahagian daripada dandanan yang sangat digalakkan bagi muslim pada setiap kali mendirikan solat. Ini sesuai dengan firman Allah dalam ayat 31, dari surah Al-A'raf, maksudnya:
"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (sembahyang)."

Apabila membaca al-Quran dan mengikuti majlis tertentu khususnya majlis mengingati Allah.

Ulama bersependapat tiada salahnya menggunakan siwak pada siang hari apabila seseorang itu berpuasa, cuma mereka berbeza pada waktu tengah hari, dengan sesetengahnya mengatakan makruh. Di kalangan ulama juga ada perbezaan pendapat mengenai penggunaan tangan untuk bersiwak. Satu pendapat, iaitu majoriti ulama berpendapat lebih baik melakukannya dengan tangan kanan. Ini sesuai dengan hadis Aisyah r.a yang menyatakan:

"Nabi s.a.w gemar memulakan dengan yang kanan apabila memakai kasut, turun (dari untanya), apabila membersihkan diri dan dalam semua perkara."

Mereka juga menyatakan siwak adalah satu perkara daripada ibadat yang mendekatkan seseorang terhadap Allah, jadi tidak sepatutnya dilakukan dengan tangan kiri. Ulama lain berpendapat ia baik dilakukan dengan tangan kiri. Pendapat ini dikatakan daripada mazhab Imam Ahmad dan pandangan ini disokong Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah. Sesetengah ulama berpendapat, apabila seseorang menggunakan siwak dengan niat mengikuti sunnah, dia sepatutnya melakukan dengan tangan kanan dan jika untuk menghilangkan kekotoran, sepatutnya dengan tangan kiri.Berdasarkan isyarat daripada al-Quran dan penegasan Nabi s.a.w, ditambah dengan perbincangan ulama dan kajian pakar perubatan jelas menunjukkan persoalan ini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.